Polisi

 policy

POLISI PEMBANGUNAN DI KAWASAN TANAH HAK MILIK UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah komited untuk melaksanakan pembangunan dan penggunaan tanah miliknya secara lestari dan mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan di Malaysia. Dalam melaksanakan usaha ini, semua aktiviti pembangunan dan penggunaan tanah milik UTM perlu mematuhi ketetapan dan peraturan berikut:

1. Semua aktiviti pembangunan dan penggunaan tanah universiti hendaklah mendapat kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan/atau Lembaga Pengarah Universiti.

2. Pejabat Harta Bina (PHB) adalah sebagai Pihak Berkuasa Universiti, setara dengan Pihak Berkuasa Tempatan, yang melaksanakan perancangan dan pembangunan fizikal kampus serta penguatkuasaan peraturan pembangunan dan penggunaan tanah milik universiti.

3. Semua proses atau aktiviti pembangunan merangkumi perancangan, pembinaan, penggunaan dan pelupusan bangunan dan infrastruktur di atas tanah milik UTM perlulah disalurkan kepada PHB untuk mendapat persetujuan dan/atau kelulusan PHB, berdasarkan jenis dan kaedah aktiviti atau pembangunan berkenaan.

4. PHB bertanggungjawab untuk menyelaras keperluan dan kepentingan semua pihak dalaman UTM yang lain seperti Unit Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran, Bahagian Keselamatan dan lain-lainnya.

5. Bagi pembangunan atau penggunaan tanah UTM yang dilaksanakan oleh pihak luar dan memerlukan kelulusan pihak berkuasa di luar UTM, tanggungjawab memperolehi kelulusan dan mematuhi semua syarat yang berkenaan adalah terletak pada pihak yang membangunkan atau mengguna tanah berkenaan. Semua permohonan kepada pihak berkuasa luar hendaklah dibuat melalui PHB.

6. Sekiranya mana-mana ketetapan dalam polisi ini tidak dipatuhi, PHB boleh mengeluarkan arahan pemberhentian kerja atau penggunaan tanah berkenaan.